Untuk julung-julung kalinya, pada 18 Mei 2024, Jenoba Outdoor dan Persatuan Pengamatan Air Pulau Pinang (Water Watch Penang – WWP) telah bekerjasama menganjurkan Program Pendidikan Air dan Sungai , Nature Edutour: River Scientist di Belukar Bukit Bukit Kayak Adventure Park, Terengganu. Program ini telah disertai 14 peserta yang berusia 13 hingga 17 tahun dari komuniti penduduk Kampung Belukar Bukit Kayak, bersama wakil dari Jenoba Outdoor iaitu Encik Mohd Najib Bin Alias, Encik Mohamad Faizal Bin Sulong dan Encik Ahmad Najmi Bin Mat Zaik.
Objektif utama aktiviti adalah untuk memberi kesedaran kepada para peserta tentang kepentingan sungai dan air supaya peserta lebih cakna dan berasa tanggungjawab untuk menjaga sumber air dengan baik. Peserta juga didedahkan dengan cara-cara untuk melakukan penilaian indeks kesihatan sungai. Program dimulakan dengan pengenalan tentang isu air di dunia, serta fungsi dan kepentingan Sungai kepada hidupan oleh Pengurus Eksekutif WWP, Dr. Hong Chern Wern.
Seterusnya, sesi penilaian sungai dimulakan dengan pembahagian peserta kepada 3 kumpulan dengan bantuan daripada fasilitator terlatih, Nur Ili Alia Ab Daroh, Nurul Anis Najihah Mohd Yazid, Dhiya Shafiqah Binti Ridzuan dan pelajar latihan industri dari Kursus Sains Kelestarian, Universiti Malaysia Kelantan, , Nur Atiqah Roslan dan Nur Fatin Azahara Mohamad Zaidi.
Penilaian indeks kesihatan sungai boleh dikenalpasti dengan beberapa cara iaitu secara fizikal, menggunakan bahan kimia dan berpandukan bioindikator. Para peserta diminta untuk turun ke sungai dan melakukan praktikal penilaian sungai dengan bimbingan fasilitator WWP, mereka menjalankan penilaian fizikal parameter sungai dan analisis kimia menggunakan kit ujian untuk menilai parameter kualiti air seperti pH, oksigen terlarut, ammonia, fosfat, nitrat dan paras nitrit.
Program diteruskan lagi dengan penilaian biologi dan berjaya mengenal pasti makroinvertebrata sebagai indikator kesihatan sungai. Menggunakan teknik “tangkap dan lepas”, peserta menentukan Indeks Kualiti Air Biologi dengan mengira pelbagai makroinvertebrata yang berjaya ditangkap, termasuk nimfa lalat batu, udang air tawar dan nimfa lalat May. Setelah mengambil kira dari segi fizikal, kimia dan biologi, sungai di Belukar Bukit Kayak Adventure Park dikategorikan sebagai sungai Kelas I.
Program diakhiri dengan sesi refleksi daripada peserta. WWP merakamkan ribuan terima kasih atas kerjasama serta anjuran oleh Jenoba Outdoor. Untuk pertanyaan, anda boleh menghubungi Pengurus Eksekutif WWP, Dr. Hong Chern Wern, melalui e-mel di hong.wwp@gmail.com atau hubungi WWP di +60 19-575 1253.