3 September 2022 : Water Watch Penang dengan Kerjasama Majlis Bandaraya Seberang Perai telah menganjurkan program pendidikan tentang air dan sungai di Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Ahmad Badawi. Program tersebut juga adalah pelengkap kepada Program Negalitres untuk Sekolah di Pulau Pinang.
Dr. Hong Chern Wern , Pengurus Eksekutif yang juga merupakan fasilitator utama kepada Water Watch Penang menerangkan tentang penjimatan air kepada 26 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar tingkatan 4 dan tingkatan 5 yang merupakan pelajar aliran sains. Dr. Hong menerangkan tentang masalah air tempatan dan juga masalah yang dihadapi oleh dunia. Para pelajar SMK Haji Ahmad Badawi sangat terkejut setelah mengetahui bahawa penduduk Pulau Pinang merupakan penduduk yang paling tinggi dalam pembaziran air. Hal ini kerana, pelajar berfikir Pulau Pinang tidak dikategorikan dalam penduduk paling tinggi pembaziran kerana negeri Pulau Pinang tidak besar seperti negeri negeri lain. Pelajar juga mendapat ilmu baharu iaitu mengetahui bahawa hanya 20% air sahaja yang dibekalkan sendiri oleh Pulau Pinang. Selebihnya 80% dialirkan dari Sungai Muda, Kedah, menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang amat ‘miskin-air’.
Cik Aina Syahira yang juga merupakan salah seorang pelatih di WWP membantu Dr.Hong dalam memberi ceramah berkaitan Pemantauan Sungai dan Air dan Penilaian. Cik Aina menunjukkan gambar gambar air yang tercemar yang disebabkan oleh sikap ketidakprihatinan manusia terhadap sungai dan juga sungai yang kotor akibat banjir. Para pelajar juga diajar cara untuk membuat persampelan air di beberapa titik sungai di Sungai Ara, Pulau Pinang.
Sebagai sebahagian daripada program PBAPP, selain daripada pelajar mempelajari tentang pemantauan sungai dan air, pelajar juga belajar tentang penilain fizikal, kimia dan biologi yang diterangkan oleh Cik Aina Syahira.
Dr. Hong kemudian menyambung sesi tersebut dengan menunjukkan pelbagai cara untuk menjimat air serta pelbagai teknologi penjimatan air. Beliau juga menunjukkan video penjimatan air oleh PBAPP sebagai kempen menjimat air. Pada bahagian akhir, para pelajar juga dididik untuk mengesan paip bocor serta mengira jumlah penggunaan air di rumah.
Program ini diselaraskan oleh WWP dengan kerjasama MBSP, Intel Corporation, CLEAN International dan PBAPP.
Untuk sekolah yang berminat untuk menyertai program ‘Negalitres untuk Sekolah’ di Pulau Pinang, sila hubungi Dr. Hong Chern Wern, Pengurus Eksekutif WWP di hong.wwp@gmail.com untuk maklumat lanjut. Program ini adalah percuma dan tidak memerlukan kertas kerja untuk para guru atau sekolah.
#waterwatchpenang
#negalitresforschools
#negalitresuntuksekolah
#cleaninternational
#weareintel
#MBSP