“NEGALITRES UNTUK SEKOLAH” Program Pendidikan Sungai dan Air di SK Sungai Setar – 20 Jun 2024

Pada 20 Jun 2024, Persatuan Pengamatan Air Pulau Pinang telah berjaya menganjurkan Program Pendidikan Sungai dan Air di Sekolah Kebangsaan Sungai Setar, Nibong Tebal. Program ini melibatkan 292 orang pelajar dari Darjah 1 hingga Darjah 6 serta dua orang guru, bermula dari pukul 10.30 pagi hingga 12.00 tengah hari. Dr. Hong Chern Wern, Pengurus Eksekutif persatuan bersama dengan dua pelajar latihan industri, Cik Nur Fatin Azahara dan Cik Nur Atiqah, serta bantuan daripada sukarelawan RASMA, Encik Shaughn telah menyampaikan ceramah yang menarik dan berfaedah. Sesi ini dimulakan oleh Dr. Hong dengan pengenalan umum tentang persatuan dan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan oleh Persatuan Pengamatan Air Pulau Pinang untuk menarik minat pelajar. Dr. Hong juga menekankan bahawa SK Sungai Setar juga merupakan salah satu daripada seratus sekolah yang terlibat “Program Negalitres untuk Sekolah”

Cik Nur Atiqah kemudian menerangkan tentang sumber asal air di bumi dan kitaran air serta membincangkan krisis air pada peringkat global, nasional, dan tempatan terutama isu kekurangan air dan pencemaran sungai yang memerlukan tindakan segera untuk mengelakkan masalah kesihatan dan kemerosotan persekitaran. Fokus juga diberikan kepada masalah kekurangan air di Pulau Pinang yang bergantung kepada Sungai Muda di Kedah sebagai sumber air utama.

Seterusnya, Cik Nur Fatin Azahara memperkenalkan penilaian fizikal, kimia dan biologi terhadap kualiti air sungai dengan menunjukkan gambar dan video bagi memudahkan pemahaman pelajar. Pelajar-pelajar mempelajari kepentingan makroinvertebrata dalam menilai kesihatan ekosistem sungai. Mereka juga dibimbing untuk mengira penggunaan air harian berdasarkan bil air masing-masing dengan bantuan Cik Nur Atiqah dan Encik Shaughn. Cik Nur Fatin Azahara turut menekankan teknik penjimatan air yang boleh diamalkan di sekolah dan rumah.

Sebelum program berakhir, sesi kuiz diadakan dan pelajar yang menjawab dengan betul menerima hadiah berupa baju kemeja khas. Persatuan Pengamatan Air Pulau Pinang ingin mengucapkan terima kasih kepada Sekolah Kebangsaan Sungai Setar atas kerjasama dan suasana yang kondusif untuk pembelajaran dan penglibatan. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Pengurus Eksekutif WWP, Dr. Hong Chern Wern, di hong.wwp@gmail.com, atau hubungi WWP di +6019-5751253.

Bookmark the permalink.

Comments are closed.