Ulu Muda merupakan sebuah kawasan tadahan yang sangat penting bagi penduduk negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Kompleks Hutan Ulu Muda (Ulu Muda) meliputi kawasan seluas 163,000 hektar dan kawasan tadahan air untuk Empangan Muda mengalir ke Sungai Muda di selatan dan Empangan Pedu dan Ahning yang mengalir ke Sungai Kedah di utara. Hutan Simpan Ulu Muda yang terletak di utara Semenanjung tanah air yang merupakan kawasan tadahan air terbesar bagi mengisi tiga empangan buatan manusia yang utama iaitu Empangan Ahning, Empangan Muda dan Empangan Pedu. Empangan ini sangat penting untuk penanaman padi dan penggunaan domestic serta industri. Kawasan tadahan ulu muda sangat penting untuk dipelihara demi keselamatan air terutama pada musim kering setiap tahun. Air hujan dari Ulu Muda juga membolehkan Kedah berfungsi dengan berkesan sebagai “Jelapang Padi Malaysia”, dengan itu memastikan jaminan makanan untuk negara ini.
Ketika ini, kira-kira 70 peratus air mentah Perlis dan 96 peratus air mentah Kedah berasal dari hutan hujan Ulu Muda. Di samping itu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) pula menyatakan bahawa lebih 80 peratus air mentah yang diperlukan Pulau Pinang setiap hari berpunca dari Sungai Muda. Sekiranya berlaku sebarang krisis di Kawasan tadahan air ulu muda, akan berlaku krisis air wilayah yang mempengaruhi negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sekaligus menyebabkan 4.2 juta penduduk terjejas.
Kawasan tadahan air hujan ulu muda mengalami ancaman apabila terdapat aktiviti pembalakan yang mengancam fungsi dan peranan utamanya sebagai penyerap karbon yang mampu menangani perubahan iklim. Selain itu, aktiviti pembalakan yang rakus ini turut memberi kesan terhadap kemusnahan ekosistem dan kepelbagaian biodiversiti di Ulu Muda.
Pembalakan di Ulu Muda mesti dihentikan serta-merta kerana beberapa faktor penting. Hal ini demikian kerana Hutan hujan di Ulu Muda sebenarnya membantu mewujudkan hujan. Melalui transpirasi, pembebasan air dari berjuta-juta tumbuhan di Ulu Muda meningkatkan jumlah wap air di udara. Pembebasan wap air ini menyokong pembentukan awan yang membawa hujan. Fenomena semulajadi ini adalah sebahagian daripada kitaran hidrologi, dan ia menjelaskan mengapa udara adalah lembap di Ulu Muda. Itulah sebabnya mengapa begitu banyak hujan di Ulu Muda, menjadikannya kawasan tadahan air yang ideal. Dengan demikian, penebangan hutan hujan yang besar akan mengakibatkan hujan yang agak sedikit di Ulu Muda, dan seterusnya, kurangnya ketersediaan air mentah untuk negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Selain itu, Ulu Muda adalah kawasan tadahan air terbesar dan terpenting di NCER. Pembalakan akan menjejaskan statusnya sebagai kawasan tadahan air dan boleh membawa kepada pengeringan Sungai Muda dan Empangan Muda ketika musim kemarau yang teruk. Oleh yang demikian, hutan hujan Ulu Muda harus dibiarkan tidak tersentuh, untuk menghasilkan dan menadah sebanyak mungkin hujan. Perlis, Kedah dan Pulau Pinang akan terus bergantung kepada Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air pada masa akan datang. Tambahan pula, pada tahun 2019 dan 2020, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang mengalami kesan buruk dari perubahan iklim dan krisis bekalan air yang nyaris-nyaris dielakkan. Pada 14.4.2020, kapasiti Empangan Muda jatuh ke paras kritikal 4.4%. Paras Sungai Muda (di muka sauk Lahar Tiang Pulau Pinang), juga luar biasa rendah pada 1.29m, pada hari yang sama. Oleh itu, penebangan hutan hujan Ulu Muda pada era perubahan iklim ini akan meningkatkan risiko krisis air dengan ketara di NCER dalam tempoh terdekat.
Bekalan air adalah elemen penting untuk kehidupan seharian dan semua aktiviti sosio ekonomi. Oleh itu, kemampanan bekalan air adalah keperluan asas untuk kemajuan berterusan di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Dalam konteks ini, Ulu Muda adalah lebih daripada kawasan hutan hujan hijau dan semula jadi yang menempatkan beribu-ribu spesies flora dan fauna asli. Ia lebih daripada singkapan karbon yang membantu mengawal iklim mikro di Utara Malaysia. Ulu Muda adalah kawasan tadahan air semula jadi yang tidak boleh ditukar ganti. Ia merupakan hubungan utama dalam rantaian nilai bekalan air untuk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, boleh hubungi kami di info.waterwatchpenang@gmail.com atau layari media sosial kami di
facebook: Water Watch Penang
instagram: info.waterwatchpenang